Monday, February 4, 2008

TIMBANG TUNTUTAN TULEN - PM

HULU TERENGGANU, 3 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata kerajaan sentiasa bersedia menimbang sebarang tuntutan daripada mana-mana kaum atau pihak yang dirasakan wajar dan tulen.

Perdana Menteri berkata sekiranya kerajaan berpandangan tuntutan itu dapat dipenuhi atau wajar diberi, kerajaan akan melaksanakannya.

"Saya yakin dan percaya apabila semua ini dikemukakan dengan butiran terperinci, Insyaallah tindakan-tindakan boleh diambil kerana sikap kita kepada tuntutan rakyat adalah sikap positif.

"Di mana ada apa yang dipanggil kompelin-kompelin, tuntutan-tuntutan yang benar, yang genuine (tulen), yang wajar maka tentu sekali kita beri pertimbangan kepada tuntutan itu... yang mana dapat kita berikan, yang wajar kita berikan, akan kita laksana. Itu prinsip yang kita pegang selama ini dalam pembangunan negara kita," katanya kepada pemberita selepas meletakkan batu asas Politeknik Hulu Terengganu di sini.

DS Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan MIC yang mahu kerajaan menyelesaikan segera tujuh isu kritikal yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India, termasuk peluang penyertaan yang tidak saksama dalam pasaran saham.

Mengambil contoh bidang pendidikan, Perdana Menteri berkata Terengganu menduduki tempat pertama dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah selama tujuh tahun berturut-turut, mengatasi keputusan yang dicatat sekolah-sekolah di negeri maju.

Permintaan berkenaan disuarakan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dalam konvensyen khas parti itu hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat tanpa mengira bangsa dan tidak akan membiarkan rakyat semua kaum terpinggir daripada kemajuan yang dikecapi negara sekarang.

"Keluhan ini bukan saja daripada masyarakat India, kita juga dengar daripada orang Cina, dan orang Melayu pun ada juga keluhan mereka. Yang penting kerajaan takkan biarkan mereka dalam keadaan terbiar, yang terpencil ataupun yang tidak ada peluang-peluang untuk menikmati kemajuan yang ada di negara kita ini," katanya.

Bagaimanapun, DS Abdullah mengingatkan bahawa dalam mengagihkan peluang dan kemudahan kepada rakyat, kerajaan menggunakan pendekatan agihan secara adil dan saksama.

DS Abdullah, yang ditemani isteri Datin Seri Jeanne Abdullah berada di Terengganu, untuk lawatan sehari ke negeri itu.

No comments: